nuhzul.com

Satu Permulaan Kepada Suatu Perubahan

Bukan Penyelesaian Kepada Penyelesaian

solution_source_questions

“Kenapa dengan orang tu mak?”, aku bertanya mak aku.  Dari tadi aku aku melihat mak cik tersebut beria-ria berbual dengan mak aku.

“Tak ada apa-apa. Cuma risaukan adik dia yang sedang bercouple dengan lelaki”

“Kalau macam tu, kahwinkan je la mereka. Mereka pun dah mampu untuk berkahwin”, balasku sepontan

“hurm… bukan tak mahu kahwinkan mereka, tapi mak tak nak penyelesaian tersebut mendatangkan masalah lain yang lebih besar. itu bukan penyelesaian kepada penyelesaian yang kita mahu.”

Aku terfikir sejenak apa yang mak aku kata. Kadang-kadang, apabila sesuatu masalah melanda, sesuatu penyelesaian itu bukanlah semestinya suatu penyelesaian yang menyelesaikan masalah. Malah, ia membawa kepada permasalahan yang lebih buruk lagi.

Perkahwinan bukan satu-satunya solusi kepada perempuan yang bercouple dengan seorang lelaki jika lelaki itu secara jelas diketahui tidak beragama walaupun lelaki tersebut berkemampuan.

Perkahwinan juga bukanlah satu-satunya solusi kepada lelaki atau perempuan yang sangat berkeinginan untuk berkahwin jika salah satu dari mereka tidak mempunyai kemampuan dari segi zahir dan batin.

Begitu juga dalam mendidik anak-anak. Melarang anak membuat sesuatu dengan menakut-nakutkan anak tersebut bukanlah penyelesaian yang menyelesaikan.

“Ammar, jangan main air dalam tandas. Nanti ada hantu timbul dari kolah”

Pernyataan sebegini sedikit sebanyak akan meninggalkan serba sedikit dalam pemikiran anak-anak yang sedang membesar. Kelak ia akan melahirkan seorang dewasa yang takut akan hantu.

Tidak dinafikan juga, pernyataan ini mampu menyelesaikan masalah anak suka masuk dan main air dalam tandas. Tetapi, penyelesaian ini akan membawa kepada permasalahan lain.

Begitu juga dalam organisasi. Bukanlah penyelesaian yang sebenar jika kita melihat suatu kesalahan atau kekurangan sesebuah organisasi, kita menjajanya atau keluar dari organisasi tersebut dan mewujudkan organisasi lain yang serupa dengan organisasi sebelum ini.

Lebih buruk, mempengaruhi orang lain mewujudkankan organisasi dalam organisasi. Penyelesaian ini menyelesaikan masalah individu atau segelintir orang lain tetapi menimbulakan masalah kepada sebahagian besar yang lain. Ini bukan penyelesaian untuk permasalahan yang timbul.

Begitu juga jika kita melihat sesuatu kesalahan. Melenting dan marah bukan adalah penyelesaian kepada permasalahan yang timbul. Walaubagaimana kerasnya hati seseorang dalam menerima pendapat kita, melenting dan marah bukan sekali-kali penyelesaiannya kerana itu bukan cara yang berhikmah dan hidayah itu milik Allah sahaja.

Walaupun ia mampu menyelesaikan masalah untuk menegur seseorang, tetapi ia akan mewujudkan masalah lain dari segi perasaan dan tanggapan orang lain.

Adapun, banyak lagi permasalahan yang berlaku di dalam kehidupan kita kerana salah satu proses kehidupan adalah dengan wujudnya permasalahan dan menyelesaikan masalah. Setiap keputusan yang dibuat pasti akan memberi kesan kepada kehidupan selepas itu. Yang penting, bagaimana kita menyelesaikan permasalahan tersebut. Dan sifirnya mudah, utamakan yang utamakan, beri keutamaan kepada penyelesaian jangka panjang berbanding penyelesaian jangka pendek.

Kehidupan ini bukan redahan yang perlu diredah semata-mata, tetapi kita mempunyai Qur’an dan Sunnah yang menjadi jurupandu kita ke jalan keluar yang benar ketika kita dikelilingi oleh kesesatan yang menyesatkan.

Leave a Response