Kebangkitan Islam:Di antara Perselisihan Yang Dibenarkan dan Perpecahan Yang Dicela
Perselisihan merupakan satu fitrah. Perpaduan merupakan harapan kita. Bagaimanakah dua perkara ini dapat kita harmonikan dalam menuju kesatuaan ummah?
Ramai manusia berdegar-degar melaungkan agenda kesatuan. Namun, jauh amal dari teori. Buku ini menyingkap bagaimana untuk menghadapi perselisihan tanpa mengorbankan perpaduan.

Tajuk: Kebangkitan Islam:Di antara Perselisihan Yang Dibenarkan dan Perpecahan Yang Dicela
Karangan: Dr. Yusuf Al-Qaradhawi
Terbitan: Pustaka Salam
Bil. m/s: 307
objektif buku ini:
-menjelaskan faktor perselisihan dan membuktikan Islam benci perpecahan dan amat sukakan kesatuan
-menjelaskan perselisiahan yang dicela dan maksud “umat ini dijadikan bertembung sesama mereka” dan “umat islam berpecah kepada 73 golongan”
-menjelaskan tip2 untuk berdepan dengan perselisihan
-menolak pendirian mereka yang ingin menyatukan umat berdasarkan satu pendapat yang ada nas
-menjelaskan kepentingan memberi perhatian kepada perkara yang disepakati
-menjelaskan pendirian IM terhadap perselisihan
(dipetik dari: kata pengantar, as-sohwatul islamiyyah: bainal ikhtilaf al masyru’ wa tafarruq al mazmum karangan Dr. yusuf al-qardawi)
Segala puji bagi Allah. Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga Baginda, para sahabat serta sesiapa yang mengikut petunjuk Baginda s.a.w
Hati saya tidak resah jika gerakan kebangkitan Islam masa kini mempunyai musuh-musuh luar yang menunggu masa untuk menyerang dan melakukan tipu daya terhadap mereka. Ini merupakan logik yang dtuntut oleh sunnah pertembungan antara kebaikan dan kejahatan. Allah telah menciptakan alam semesta yang kita tinggal ini berlandaskan sunnah ini.
Saya resah. Mata saya tidak lelap dan hati saya hancur luluh penuh kesal kerana gerakan kebangkitan Islam saling bermusuhan sesama mereka. Musuh mereka terdiri daripada kalangan anggota mereka sendiri. Mereka adalah api dalam sekam. Mereka saling pukul memukul, memperdaya dan bertembung sesama sendiri.
Hati saya juga tidak resah jika gerakan kebangkitan Islam mempunyai pelbagai aliran sekolah, kumpulan dan jemaah. Setiap mereka mempunyai manhajnya yang tersendiri untuk berkhidmat kepada Islam dan bekerja memperkukuhkannyadi muka bumi. Mereka melaksanakannya mengikut objektif dan pendidikan yang ditetapkan, cara dan peringkat- peringkat yang ditentukan, serta berdasarkan kepercayaan kepada pelaksananya sama ada dari segi kekuatan, sifat amanah, kelayakan dan keikhlasan mereka.
Satu tindakan berpemikiran cetek jika saya mengajak mereka kepada sebuah jemaah atau gerakan yang menggabungkan semua aktivis Islam dalam satu sistem dan di bawah satu kepimpinan. Ia juga merupakan sikap tamak yang tidak bertempat.
Saya telah nyatakan dalam banyak kajian saya bahawa tiada halangan berbilang-bilang kumpulan dan jemaah yang yang bekerja untuk membantu Islam. Sekiranya kewujudan jemaah yang berbilang-bilang tersebut merupakan kepelbagaian jenis dan pengkhususan, bukan berbilang-bilang kerana saling bercanggah dan berlawanan. Selain itu juga, kerjasama dan penyelarasan antara semua kumpulan dan jemaah itu mestilah berlaku walaupun sedikit. Agar mereka saling menyempurna, memperkukuh dan membentuk satu barisan dalam menghadapi isu-isu hidup mati Islam dan masalah bersama. Seolah-olah mereka merupakan sebuah binaan yang tersusun.
Namun yang benar-benar menghiris hati ialah terdapat para pendakwah dan aktivis Islam yang tidak menghormati perkara ini dengan sewajarnya. Mereka menaburkan benih-benih perpecahan di mana sahaja mereka berada. Mereka mencari-cari perkara yang boleh menyalakan api perselisihan serta menimbulkan permusuhan juga kebencian. Tumpuan mereka sentiasa terletak pada tempat-tempat perselisihan dan bukannya titik-titik persepakatan. Mereka selalu merasa takjub dengan pandangan mereka sendiri, memuji diri, dan jemaah mereka dan membuat tohmahan kepada orang lain.
Hakikatnya, perselisihan bukanlah merbahaya, terutamanya perselisihan dalam perkara furu’ dan sesetengah perkara usul yang bukan asasi. Bahaya yang sebenar terletak pada perpecahan dan permusuhan.
Oleh kerana itu, kebangkitan dan gerakan Islam dengan pelbagai aliran dan sekolah perlu kepada kesedaran mendalam yang kita namakan Fiqh Perselisihan
Fiqh ini merupakan salah satu dari lima jenis fiqh yang sepatutnya diberikan tumpuan kerana kita amat memerlukannya. Fiqh-fiqh tersebut ialah Fiqh Maqasid (fiqh mengenali tujuan-tujuan syarak), Fiqh Awlawiyyat (fiqh memahami keutamaan sesuatu perkara dan tingkatan amal), Fiqh Sunan (fiqh memahami peraturan Allah dlaam kejadianNya), Fiqh Muwazanah (fih bagaiman menimbangkan antara kemaslahatan dan kefasadan), akhirnya ialah Fiqh Ikhtilaf (fiqh perselisihan)
Ia merupakan fiqh yang diketahui oleh kurun terbaik umat Islam; di kalangan para sahabat, tabien dan imam-imam pendukung hidayah. Perselisihan ilmu tidak memberikan kesan negatif kepada mereka. Sedangkan kita jahil tentangnya,. Oleh itu, kita saling musuh-memusuhi sesama kita dengan sebab isu-isu yang remeh ataupun tanpa sebab!
Saya memohon pada Allah swt untuk menjadikan buku ini pancaran cahaya yang menyinari jalan Amal Islami yang peka dan gerakan kebangkitan Islam yang rasional.
Ya Allah, berikanlah kepada kami cahaya petunjuk untuk kami melangkah dengannya dalam kegelapan, bukti petanda untuk kami membezakan melaluinya perkara yang samar-samar serta neraca untuk kami mengambil pedoman di persimpangan jalan.


